Subscribe to RSS feed

Monday, March 7, 2011

Kenapa dengan Latihan?

Bismillahirrahmanirrahim, sekarang masih lagi lengang,tidak banyak kejohanan yang dianjurkan buat masa sekarang.Pun begitu, dunia debat tetap meriah dengan pertandingan dan liga yang dijalankan secara dalaman atau kerjasama antara beberapa universiti.


Tidak ketinggalan siri latihan berkala yang dilakukan dalam pelbagai format untuk memastikan para pendebat kekal berminda cergas walaupun ketika off-season.


Justeru, molek juga kalau saya berkongsi dengan para pendebat tentang apakah sebenarnya yang boleh dimanfaatkan dalam sesi latihan? Apakah tabiat yang sering diamalkan oleh para pendebat terdahulu yang telah menjadikan mereka pendebat yang lebih baik dari masa ke masa?


1. Wayar dalam otak



Saya pasti, para pendebat pasti terpesona melihat betapa mudahnya pendebat-pendebat lama mempersembahkan gaya sendiri ketika beraksi di pentas. Effortless. Seolah-olah mereka memang dilahirkan sedemikian rupa.


Tidak sama sekali.


Mereka menjadikan debat seolah-olah rutin harian kerana mereka tidak pernah gagal untuk menghadiri latihan. Seni pengucapan awam bukannya bakal istimewa yang diperoleh satu dalam sejuta. Debaters are not savants or naturally gifted, except for a few.


Frasa-frasa indah yang terbit lancar dari mulut mereka merupakan hasil ujikaji berpuluh-puluh, malah barangkali beratus-ratus frasa yang diulang cuba dalam sesi latihan.

Jangan malu untuk mencuba dalam sesi latihan. Yang salah ditegur. Yang indah disubur.


Ya, memang benar. Kehebatan mereka bukan keajaiban dan usahlah anda bermimpi untuk menjadi sehebat mereka andai hanya bergoyang kaki dan menunggu masa untuk dipilih masuk ke dalam pasukan.


Kehebatan mereka sudah dibentuk menjadi sebahagian daripada wayar dalam otak - dek kerana latihan yang tak putus-putus.


Debate is hard work. Period.


2. Biar kecil asal tercapai


Satu lagi aspek dalam latihan yang sering menyebabkan ramai pendebat putus asa, mengaku kalah, dan tunduk pada kepenatan ialah kerana mereka mempunyai matlamat yang terlalu jauh.


Atau lebih malang jika tidak ada arah tuju langsung.


Tidak ada pendebat muda yang tiba-tiba boleh bertukar sehebat Encik Daud Mat Din atau Encik Nizamuddin Hamid dalam masa sehari. Tidak ada. Tidak akan ada.


Tetapkan matlamat yang KHUSUS dan mampu dicapai dalam tempoh masa latihan yang tertentu. Misalnya, untuk latihan hujung minggu ini, saya ingin mengurangkan sebutan 'erm' ketika berdebat.


Atau, saya ingin memenuhi masa tujuh minit. Saya ingin berdiri tegak dan meningkatkan projektil suara. Saya ingin memastikan fakta yang telah digunakan tidak diulang. Saya ingin mengurangkan sebutan berbaur dialek.


Biar khusus dan usaha kita akan ditumpukan sepenuhnya untuk matlamat tersebut. Barulah pendebat akan keluar dari kepompong, menjadi 'pendebat baru' setiap kali tamat sesi latihan.


3. Pendapat bukan format


Ramai pendebat yang rimas dan keliru dengan komentar yang diberikan oleh jurulatih. Semalam, katanya saya perlu menggunakan tempo lebih laju. Hari ini suruh saya perlahan pula.


Minggu lepas katanya saya terlalu garang. Minggu ini suruh saya berkeras pula.


Jangan bimbang. Usah keliru.


Komentar yang diberikan oleh jurulatih biasanya bersifat responsif dengan persembahan pendebat dan berkaitan juga dengan usul dan mood debat yang wujud ketika sesi latihan tersebut.


Maka, pendebat perlu memahami setiap komen dalam bentuk konteks dan bukannya menyalin setiap butir komen lantas dijadikan senarai peraturan debat. Jangan buat begitu.


Perubahan dan proses tambah baik dalam debat sememangnya subjektif dan kompleks. Sebab itu yang culas datang latihan, akan mendapati diri mereka terawang-awang dan terpisah dengan rakan seangkatan lain - lantaran proses pembentukan karakter debat itu telah terhenti seketika dan perlu dimulakan dari awal.

Friday, March 4, 2011

Masalah Penyampaian dalam Debat

Bismillahirrahmanirrahim,
Masalah penyampaian dalam debat biasanya dihadapi oleh pendebat-pendebat muda. Kadangkala, halangan yang sama juga dihadapi pendebat yang sudah lama di gelanggang.


Masalah penyampaian boleh berlaku dalam banyak bentuk. Ini saya tak perlu terangkan panjang-panjang. Anda semua pernah mengalaminya sendiri pada satu-satu ketika.


Paling lazim, pendebat menghadapi kesukaran menyampaikan idea dengan lancar. Tersekat-sekat. Berhenti dalam jeda masa yang panjang. Hilang perkataan.

Dengan mengenal pasti faktor berlakunya perkara-perkara di atas, para pendebat boleh mengambil beberapa inisiatif untuk membaiki mutu penyampaian.

1. Debat Bukan Karangan Lisan

Stigma paling utama dalam minda pendebat muda ialah debat perlu disampaikan dalam laras bahasa yang tepat dari aspek nahu dan pemilihan perkataan.

Hal ini benar, namun sekiranya terlalu diberi perhatian oleh pendebat, akan mengganggu kelancaran penyampaian.

Jangan lupa, debat merupakan sesi untuk berkongsi ide dan mesej dengan gaya dan persembahan yang paling mudah diterima audiens, terutamanya hakim.

Justeru, molek sekali sekiranya pendebat menenangkan perasaan, dan elakkan daripada membentuk bayangan ayat yang bakal disebut dalam minda.

Sebab? Bayangan ini boleh muncul dan lenyap dalam sekelip mata. Apabila hilang, ketika itulah kegugupan mengambil alih.

Sebaliknya, susun ide dalam minda seolah-olah cerita yang sekian lama disimpan, menanti masa untuk dikongsi bersama rakan sembang.

Berbuallah dengan audiens, cuma dalam lenggok bahasa yang sedikit teratur dan seragam daripada bahasa pasar, loghat, slanga, atau dialek.

Kemahiran membentuk ayat gramatis dengan kata-kata indah dan bombastik akan dibina perlahan-lahan selepas penguasaan penyampaian diperbaiki.

Usah jadikan proses menyusun kata diselangi kebimbangan melanggar tatabahasa sebagai penghalang untuk pendebat mempersembahkan penyampaian yang meyakinkan.

2. Semua Orang Gemuruh

Percayalah. Tidak ada orang yang tidak berasa gemuruh ketika tampil di hadapan khalayak untuk berbicara. Yang membezakan kita semua hanyalah kematangan dalam menanganinya.

Tidak ada jalan singkat untuk mengatasi rasa gemuruh. Pun begitu, debar dan gentar mampu dikurangkan perlahan-lahan dengan latihan debat yang kerap.

Buangkan jauh-jauh sangkaan 'they are better than me'. Sebaliknya, yakinlah bahawa 'they were me once, and I'll be them soon'.

Sekiranya sesi latihan terlalu menduga dan anda tidak mampu berhadapan dengan siri tenungan jurulatih dan pendebat senior yang meragut yakin, cari kekuatan pada rakan anda.

Tenung mata sesiapa yang paling anda selesa dan percaya semasa berucap. Sekurang-kurangnya, teknik ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan rasa gemuruh.

Tarik nafas dalam-dalam dan cuba dengar suara anda sendiri. Biasanya rasa gemuruh akan meningkat apabila pendebat menumpukan perhatian pada bisik-bisik kecil dan pergerakan sekeliling berbanding ucapan sendiri.

Selebihnya, pendebat boleh cari petua mengelakkan gemuruh dalam mana-mana buku pengucapan awam. Saya kongsi sedikit saja.

3. Tahu Apa, Tak Tahu Bagaimana


Pada hemat saya, ini kelemahan yang sering menjadi keluhan pendebat muda. "Saya tahu apa nak cakap, tapi tak tahu macam mana nak cakap."


Mengapa hal ini boleh berlaku? Bagaimana ide sedia ada tidak boleh diterjemahkan dalam bentuk kata-kata yang disampaikan secara berkesan?


Jawapan paling mudah, kerana perkataan yang diperlukan bagi membolehkan pendebat meluahkan ide dan fakta tidak wujud dalam minda. Ya, penyambungan ide memerlukan kosa kata.


Kosa kata yang saya maksudkan bukanlah glosari puitis. Bukan.


Ini koleksi perkataan biasa yang digunakan untuk menyambung ide dan menyampaikannya dengan berkesan.


Misalnya, kata hubung (dan, atau, kerana) atau penanda wacana (walau bagaimanapun, oleh hal yang demikian, pun begitu, malah).


Perhatikan langgam bahasa yang digunakan dalam akhbar. Teliti cara ide dan hujah disambung dalam aliran yang mudah dihadam. Baca, baca, dan baca.


Ide dan maklumat dalam minda sememangnya wujud bercempera. Macam susun suai gambar. Kalau tak ada perkataan yang sesuai sebagai penyambung, maka ide akan kekal terpisah.


Tambahkan kosa kata. Baca, baca, dan baca.


4. Pendebat Perlu Bernafas


Percaya atau tidak, ramai juga pendebat yang tiba-tiba mengubah cara bernafas sebaik sahaja mula berucap. Belum habis tujuh atau lapan minit, sudah tercungap-cungap.


Apabila sudah lelah sedemikian rupa, penyampaian pasti terganggu.


Secara fisiologi, tentulah normal apabila tempo pernafasan berubah ketika debat. Apabila kita gementar, degupan jantung meningkat. Begitulah seterusnya. Ini bukan entri saintifik.


Cuma, saya galakkan para pendebat untuk mengawal pernafasan ketika berdebat. Beri peluang paru-paru anda mengambil udara ketika berucap.


Caranya? Mesti ada jeda henti ketika berdebat. Berhentilah sesaat dua antara satu fakta dengan fakta lain. Jangan risau, masa pasti mencukupi andai bijak mengatur kandungan ucapan.


Selain mengatur nafas, jeda henti juga membantu anda menyusun perkataan yang bakal diucapkan selepas itu.


Jangan rusuh dalam debat. Jangan seksa diri. Beri ruang pada diri untuk berfikir dan bernafas.


5. Jangan Malas Menulis


Kerap juga saya perhatikan kertas catatan pendebat muda ketika sesi latihan. Kebanyakan yang mempunyai masalah penyampaian berkongsi rupa kertas yang sama.


Nota-nota bercempera dan tidak teratur.


Ini satu tabiat buruk dan perlu dijauhi, melainkan anda sudah mencapai tahap berdebat dengan lancar tanpa sepatah kata pun tercatat sebagai nota.


Bentuk catatan debat menggambarkan bentuk fikiran anda. Justeru, molek sekali sekiranya para pendebat mencatat hujah atau bidasan secara teratur.


Manfaatkan catatan untuk membantu pembentukan idea, bukannya menulis teks. Zahirkan aliran idea seringkas mungkin pada kertas catatan.

Singkatan, simbol, carta alir, peta minda - gunakan apa saja yang mampu membantu kefahaman anda untuk menyampaikan hujah atau bidasan.



Kalau catatan sendiri pun anda baca sambil berkerut dahi, bagaimana untuk memberi faham dan yakin pada audiens?


6. Mula Pada Minit Pertama


Satu lagi tabiat yang sering saya perhatikan dalam kalangan pendebat muda ialah reaksi mereka apabila tiba giliran untuk menyampaikan ucapan.


Ramai juga yang terkejut atau tersentak kecil apabila nama atau giliran dipanggil.


Hal ini bagi saya aneh. Sebab, bukankah anda sedia sedar bahawa anda berada dalam gelanggang perdebatan dan giliran anda pasti tiba?


Mengapa masih ada yang seolah-olah tidak menyangka giliran mereka tiba?


Jawapan saya mudah. Ada dalam kalangan anda yang shut down otak, atau meletakkan otak dalam keadaan standby sehinggalah giliran anda.


Apabila ini berlaku, otak anda akan dipaksa bekerja keras untuk melakukan banyak perkara pada masa yang sama.


Anda perlu menyusun segala ide, merujuk kembali nota debat, mengatur pernafasan, mengenal pasti situasi sekeliling dan audiens, mencari kosa kata untuk disampaikan, dan banyak lagi - semuanya pada saat anda berdiri.


Hasilnya? Anda gugup. Deruan adrenalin akan menguasai segala-galanya.


Gerakkan jentera fikir seawal minit pertama, tidak kiralah anda berdebat di posisi mana sekali pun. Susun dan ulang sebut aturan hujah dan fakta dalam minda.


Semakin kerap anda mengulang kaji hujah dan bidasan sebelum sesi ucapan bermula, semakin mudah untuk anda menyampaikannya.


Perasaan gugup untuk menyampaikan ucapan sebenarnya berpunca daripada kealpaan kita bahawa debat hanya semata-mata seni pengucapan awam.


Debat juga (atau lebih utama sebagai) seni berfikir. Kerah akal untuk bekerja, bukan hanya mengasah lidah dan tutur bicara.


Setakat ini sahaja. Kalau ada lagi, saya tambah.

Tournament 2011

Bismillahirrahmanirrahim, untuk makluman semua pendebat SMAI,mungkin tahun ini,kita akan mengalami sedikit kesulitan yang mana kebanyakan kejohanan debat yang akan kita sertai akan dilaksanakan pada semester kedua iaitu selepas bulan Jun. tetapi,itu hanya kemungkinan, mungkin akan berubah, itu hanya secara kasar. namun begitu, pencarian maklumat dan latihan masih perlu diteruskan demi mengejar kejayaan.


ini hanya tarikh kasar:-



Musleh-hujung bulan 5
UIA-bulan 7
Piala U UKM-bulan 6