Subscribe to RSS feed

Monday, March 7, 2011

Masalah Pendebat Ke-2

Bismilahirrahmanirrahim, Biasanya pendebat kedua (Timbalan Perdana Menteri / Timbalan Ketua Pembangkang) mempunyai tugas untuk menegakkan kembali kes yang dibawa oleh pendebat pertama, di samping menyerang pihak lawan dan membawa hujah untuk pasukan.


Kenapa saya condongkan frasa 'menegakkan kembali'?


Sebab, ini frasa yang paling masyhur dalam kalangan pendebat kedua, namun begitu sedikit sekali yang memahami semangat dan mekanisme frasa tersebut.


Yang itu, akan saya karang dalam entri seterusnya.


Secara keseluruhan, pendebat kedua merupakan pendebat yang perlu membidas dan berhujah secara seimbang dan bijak dalam tempoh yang disediakan.


Inilah yang dinanti-nantikan oleh audiens, terutamanya para hakim.


Pendebat kedua yang mampu mematahkan kes lawan seawal minit pertama ucapan, dan mampu memukau audiens dengan ketajaman hujah dan fakta untuk menerangkan kes pasukan.


Soal teknik dan struktur, ini juga saya akan karang dalam siri seterusnya.


Justeru, bagi memastikan pendebat mampu menjalankan kedua-dua tugas membidas dan menyampaikan hujah dengan baik, berikut merupakan beberapa karakter atau sifat yang molek sekali diamalkan.


1. Bahagi Dua


Mentaliti berhujah dan membidas tidak sama. Menyerang dan bertahan, tidak sama.


Sebagai pendebat kedua, anda perlu membahagikan perasaan dan karakter kepada dua keadaan.


Semasa membidas, tumpukan mood penyampaian kepada serangan. Dengan santun dan sinis, buktikan kelemahan kes lawan.


Ini waktu menyerang. Bahasa mesti ringkas dan tajam. Intonasi juga lebih sinis dan nakal.


Berbeza sekali apabila apabila anda tiba pada sesi penghujahan. Tidak boleh tidak, karakter menyerang tadi perlu dipadam.


Tumpuan anda sekarang bukan lagi sepenuhnya pada pihak lawan, tetapi kebanyakannya beralih pada audiens (terutamanya hakim).


Mereka menunggu anda menyampaikan hujah dan fakta untuk pasukan. Kalau asyik serang saja tapi tiada isi, apa faedahnya?


Sesi penerangan perlu dilakukan dengan jelas dan teliti. Bantu audiens memahami setiap hujah dan fakta. Tampilkan diri sebagai individu yang mudah didekati.


Sebagai seorang rakan. Sebagai seorang guru. Penerangan mementingkan karakter yang boleh dipercayai. Unsur kebodohan buta tuli atau jenaka keterlaluan akan memadamkan rasa percaya audiens.


2. Cuba Posisi Lain


Hal ini sebenarnya baik untuk semua pendebat tetapi saya perlu tekankan karakter ini kepada pendebat kedua.


Jangan sekali-kali kekal pada posisi pendebat kedua semata-mata. Saya pasti, mana-mana jurulatih akan menukarkan kedudukan para pendebat ketika sesi latihan.


Usah malu untuk mencuba posisi pendebat pertama dan ketiga.


Malah, inilah langkah yang penting untuk anda menyelami teknik penerangan (pendebat pertama) dan teknik bidasan (pendebat ketiga) dengan lebih mendalam.


Kenal pasti kemahiran dan ciri-ciri penting yang anda mahukan ketika berlatih sebagai pendebat pertama dan ketiga.


Apabila anda berlatih sebagai pendebat pertama, misalnya, perhatikan perjalanan debat dan kenal pasti apa yang anda mahu pendebat kedua sampaikan selepas giliran anda tamat untuk menambah kekuatan pasukan.


Perkara itu jugalah yang akan anda gunakan apabila kembali ke posisi asal.


3. Faham Jalan Cerita


Pendebat pertama meletakkan batu asas kes pasukan. Pendebat ketiga akan cuba menghancurkan batu asas pihak lawan.


Maka, pendebat kedualah antara yang memikul beban terberat bagi memastikan audiens benar-benar memahami kes pasukan.


Hal ini hanya mampu dicapai apabila anda faham sungguh-sungguh dengan kes pasukan.


'Faham' tidak sama dengan 'tahu'.


Tahu ialah apa yang tertulis pada catatan debat anda. Premis, rasional, hujah, fakta. Semua orang yang dengar, mungkin tahu.


Tetapi, faham ialah kemampuan untuk menyertakan JALAN CERITA kes anda ke dalam setiap fakta yang dikemukakan.


Maknanya anda boleh ceritakan kes pasukan dari arah mana sekali pun. Depan ke belakang, kiri ke kanan. Semua boleh.


Jalan cerita mesti dikenal pasti seawal perbincangan dan disambung ketika perdebatan berlangsung.


Apakah yang ingin dibuktikan pada penghujung setiap fakta? Apakah yang berlaku dalam setiap hujah? Di manakah kaitan antara frasa-frasa dalam usul? Bagaimana untuk anda kaitkan premis dan kesimpulan setiap fakta?


Semua ini mesti dicerna tanpa sebarang ragu oleh pendebat kedua.


Tiada guna melambakkan fakta merata-rata, namun tiada jalan cerita yang membuktikan kes pasukan.


Dalam debat ala parlimen, pendebat kedua dikenali sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) bagi pasukan kerajaan (pencadang) dan Timbalan Ketua Pembangkang (TKP) (ada juga format yang menamakan posisi ini sebagai Pembangkang Kedua) bagi pasukan pembangkang.


Secara permukaan, posisi ini seolah-olah mempunyai fungsi yang sama.


Pun begitu, pada hemat saya, terdapat banyak perbezaan antara peranan TPM dan TKP disebabkan oleh giliran ucapan mereka yang akan mempengaruhi dinamik dan pertembungan idea yang telah dicipta oleh pendebat sebelum mereka.


Justeru, molek rasanya andai saya mendekati kedua-dua posisi ini dalam siri yang berbeza.


Mudah-mudahan, dapatlah para pendebat mendalami peranan yang dimainkan oleh pendebat kedua dalam dimensi kerajaan dan pembangkang dengan lebih tepat.


Dalam siri ini, saya akan cuba mengupas peranan pendebat kedua sebagai TPM.


Harus diingat, yang saya karang dalam siri ini bukanlah struktur ucapan pendebat kedua, tetapi lebih kepada petua ringkas untuk menjadi pendebat kedua pasukan kerajaan yang berkesan.


1. Pantas Membaca Gerakan Lawan


Berbeza dengan pendebat ketiga yang mempunyai masa yang lebih untuk mereka bentuk serangan, TPM hanya mempunyai tujuh hingga lapan minit untuk merangkanya.


Justeru, TPM harus pantas membaca gerakan lawan. Paling molek, struktur kes pasukan telah sedia disalin dan dirujuk setiap kali ketua pembangkang menyerang kes pasukan.


Kenal pasti bahagian kes mana yang diserang. Sebab itu, catatan kes yang jelas dan sistematik amat membantu.


Kemudian, perhatikan struktur kes pembangkang. Kelemahan kes pembangkang akan mudah ditemukan sekiranya anda terlebih dahulu 'meramal' beberapa bentuk kes yang mungkin dibawa oleh pasukan lawan semasa sesi persediaan.


Kalau tak ada pun tak apa. Tumpukan perhatian kepada definisi dan rasional kes. Ingat, mendengar kes pembangkang bukan sekadar menyalin APA yang ada dalam kes mereka.


Mendengar kes pembangkang ialah memerhatikan kes mereka BERPANDUKAN kes kerajaan. Pembangkang tugasnya membangkang.


Maka binaan kes mereka mesti berasaskan serangan yang telah dilakukan kepada kes kerajaan. Itu yang TPM perlu perhatikan.


Baca catatan kes pasukan sambil dengar pembentangan kes pembangkang. Kena atau tidak bangkangannya? Bertembung atau tidak kes mereka dengan kes anda?


2. Jangan Tamak, Usah Gelojoh


Tujuh atau lapan minit, percaya atau tidak, terlalu singkat.


Lazimnya, TPM yang berkesan menggunakan 1.5 hingga 2.5 minit untuk menyerang kes pembangkang dan menerangkan kes pasukan. Bakinya untuk hujah dan fakta.


Oleh hal yang demikian, TPM harus mengenal pasti kelemahan UTAMA yang ingin diserang dalam kes pembangkang. Kes, bukan hujah.


Teliti definisi dan rasional terlebih dahulu, kemudian pergi kepada kaitan hujah dan fakta dengan kes. Di mana kelemahannya? Wujudkah kaitan yang terputus?


Tinggalkan kelemahan hujah untuk dibidas oleh pendebat ketiga, kecuali hujah ketua pembangkang terlalu lemah dan anda ingin melancarkan knock-out punch seawal perdebatan.


Nama pun tumbukan KO, maka mesti ringkas dan padu. Ingat, anda hanya ada masa kurang daripada tiga minit untuk menyerang dan bertahan.


Hujah dan fakta lain, tinggalkanlah. Jangan bolot semua.


Sebagai TPM, yang lebih dinanti-dinanti daripada anda ialah hujah dan fakta yang akan menyempurnakan kes pasukan.


3. Ganggu Rakan Sejawatan


Apabila giliran TPM tiba, kronologi debat yang sudah selesai ialah Perdana Menteri (PM) - Ketua Pembangkang (KP).


Untuk TKP, kronologinya PM - KP - TPM.


Apa motif saya menerangkan kronologi ini? Inilah yang membezakan pola serangan TPM dan TKP.


Perhatikan bahawa tiada unsur perbandingan yang boleh dilakukan oleh TPM kerana hanya KP yang telah berucap dari pasukan pembangkang.


Pun begitu, sesukar mana tugas TPM untuk menyerang dan bertahan, begitu jugalah sukarnya tugas TKP.


Justeru, moleklah andai TPM mengambil kesempatan ini untuk membebankan TKP dengan serangan yang akan mengganggu pengurusan masa TKP.


Misalnya, TPM boleh memberitahu audiens secara terperinci tentang bahagian kes yang perlu diterangkan semula oleh TKP.


Dedahkan kepada audiens bahawa kes pembangkang perlu diperbaiki dan tanggungjawab ini perlu segera dipikul oleh TKP.


Walau bagaimanapun, strategi ini berisiko sekiranya anda bertemu dengan pendebat kedua yang mantap atau berpengalaman di pihak pembangkang.


Justeru, rancang serangan dengan teliti. Jangan pula nanti umpan memakan diri.


Untuk siri yang seterusnya, saya akan berkongsi beberapa petua bagi pendebat kedua pasukan pembangkang pula. Juga, nantikan kupasan mengenai hujah dan fakta.


Secara umumnya, peranan TKP hampir sama dengan Timbalan Perdana Menteri (TPM) bagi pasukan kerajaan. Serangan terhadap kes lawan dan mendirikan kes dengan hujah dan fakta.


Pun begitu, terdapat beberapa fungsi khusus bagi TKP yang, jika diberi perhatian dan digunakan sepenuhnya, mampu membantu para pendebat untuk memainkan peranan sebagai TKP dengan lebih berkesan.


1. Kes Lawan Sudah 'Siap'


TKP bangkit untuk berucap setelah TPM dan Perdana Menteri (PM) selesai berucap. Secara teknikal, kes kerajaan sudah selesai dibina - sama ada pembentangan yang dilakukan oleh PM, atau pembetulan yang dibikin oleh TPM.


Situasi ini menjadikan peranan TKP agak unik. Mengapa?

Pertama, TKP boleh menjelaskan hal ini kepada audiens. Beritahu mereka, kes kerajaan sudah siap - tetapi di mana silapnya? Di mana cacatnya? Analisis ucapan PM dan TPM. Kenal pasti percanggahan antara kedua-duanya.



Kedua, TKP juga boleh, secara retorik, 'menghalang' pendebat ketiga pihak kerajaan daripada melakukan sebarang pembetulan terhadap kes yang sudah siap.


Nyatakan halangan tersebut kepada audiens. Beri beban tambahan kepada pendebat ketiga kerajaan untuk cari jalan keluar.


2. Banding. Jangan Ulang.


Salah satu teknik yang kerap saya temukan dalam gelanggang debat (yang digunakan sama ada oleh pendebat muda atau utama) ialah pengulangan serangan atau pertikaian yang telah dibawa oleh Ketua Pembangkang (KP).


Strategi ini, walau tidak bercanggah dengan mana-mana format debat, namun perlu dielakkan kerana teknik ini menggambarkan kekurangan ide di pihak pembangkang.


Tambahan pula, sekiranya serangan KP sudah dipatahkan oleh pihak lawan, maka apakah lagi gunanya melancarkan jurus yang sudah diketahui cara tepisnya?


Serangan KP berbentuk pandangan pertama. Lihat dan serang.


Sebaliknya, TKP sudah mendengar kes kerajaan-serangan KP-serangan balas TPM. Maka, bentuk bidasan atau pertikaian baru diperlukan.


Serangan molek sekali disampaikan dalam bentuk analisis perbandingan. What they have done so far lebih menggamit perhatian berbanding what's wrong with them.


3. Jeling-Jeling Pendebat Ketiga


Sebagai TKP, anda merupakan orang terakhir yang menyampaikan hujah dalam gelanggang. Selepas itu, sesi bidasan akan bermula.


Justeru, beberapa perkara perlu sentiasa tersemat dalam minda sebagai peringatan.


Pertama, jangan beri bola tanggung kepada pihak lawan. Berhati-hati dalam membuat pembetulan atau penerangan semula kes pasukan. Sekali anda tersilap langkah, smash pertama pendebat ketiga kerajaan akan meranapkan kes pasukan.


Serangan semerta sedemikian perlu dielakkan dengan apa cara sekali pun.


Kedua, kebanyakan pasukan (peringatan: BUKAN semua) mempunyai pendebat ketiga yang mempunyai kemampuan untuk menghidupkan kes pasukan.


Pasukan sebegini biasanya mempunyai kecenderungan untuk 'mengabaikan' kesalahan yang dilakukan oleh PM dan TKP, atau pembetulan kesilapan dilakukan sambil lewa kerana mereka sedar pendebat ketiga akan kembali membaiki keadaan.


Strategi begini perlu dimanfaatkan oleh TKP. Timbunkan segala beban kepada pendebat ketiga dengan mendedahkan kesalahan pasukannya kepada audiens.


Beritahu audiens bahawa segala pertikaian ini wajib dijawab oleh pendebat ketiga kerajaan.


Ya, teknik ini lebih kurang sama dengan TPM, cuma pendebat ketiga lebih terdedah kepada risiko penggunaan masa yang tidak seimbang kerana penerangan kes akan diadun bersama-sama dengan bidasan - menjadikan ucapan mereka lebih panjang daripada apa yang telah dirancang.


Dalam siri akan datang, andai diizin Tuhan, saya akan cuba berkongsi beberapa petua tentang penyampaian hujah berkesan.

0 comments:

Post a Comment