Subscribe to RSS feed

Thursday, June 9, 2011

Apa itu ISA?

AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI (ISA) DIKEKALKAN DEMI MENJAMIN KESEJAHTERAAN NEGARA

PENGENALAN
Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (Lazimnya dikenali sebagai ISA, iaitu akronim nama bahasa Inggerisnya, Internal Security Act merupakan undang-undang tahanan pencegahan yang sedang berkuat kuasa di Malaysia. Sesiapa pun boleh ditahan oleh polis selama 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan untuk tindak-tanduk yang dijangkakan mengancam keselamatan negara atau mana-mana bahagian daripadanya.


Selepas 60 hari, seseorang tahanan itu boleh ditahan lagi selama tempoh dua tahun jika diluluskan oleh Menteri Dalam Negeri, dan sekali gus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan. Pada tahun 1989, kebolehan mahkamah untuk menyiasat kuasa Menteri di bawah peruntukan ini telah dihapuskan dengan beberapa pindaan kepada Akta ini. Pada masa kini, mahkamah boleh melihat semula hanya perkara-perkara teknikal sahaja berkenaan sebarang penahanan di bawah ISA.


Semenjak tahun 1960 apabila Akta ini dikuatkuasakan, beribu-ribu orang termasuk ahli kesatuan sekerja, pemimpin pelajar, aktivis hak buruh, aktivis politik, golongan agama, ahli akademik dan aktivis badan bukan kerajaan telah ditahan di bawah ISA. Ramai aktivis politik pada masa dahulunya telah ditahan untuk lebih daripada sedekad. Akta ini merupakan satu alat yang dikekalkan oleh kerajaan yang berkuasa untuk mengawal kehidupan umum dan masyarakat awam demi kesejahteraan dan keamanan negara.

Sejarah


ISA Malaysia mula digunakan pada tahun 1960-an yang mempunyai satu tujuan iaitu untuk mengekang ancaman komunis pada ketika itu. Peruntukkan pencegahan yang terkandung dalam ISA dikatakan begitu efektif kerana ia telah mampu mengekalkan kestabilan negara yang baru merdeka walaupun sedang menghadapi ancaman bersenjata komunis.


Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 sebenarnya dirangka oleh R.H. Hickling pada awalnya. Kemudian ia dijadikan undang-undang pada tahun 1960. Semasa akta itu mula digunakan, ia membenarkan kajian semula, akan tetapi sejak itu ISA telah dipinda sebanyak lebih daripada 20 kali dan peruntukan ini telah dikeluarkan. Kuasa mutlak telah diberikan kepada Menteri Dalam Negeri membolehkan beliau menangkap sesiapa pun, tanpa merujuk kepada mahkamah.

Perundangan

Relevant sections of the legislation are as follows:
Section 73(1) Internal Security Act 1960: "Any police officer may without warrant arrest and detain pending enquiries any person in respect of whom he has reason to believe that there are grounds which would justify his detention under section 8; and that he has acted or is about to act or is likely to act in any manner prejudicial to the security of Malaysia or any part thereof or to maintenance of essential services therein or to the economic life thereof."
Sect 8. Power to order detention or restriction of persons. "(i) If the Minister is satisfied that the detention of any person is necessary with a view to preventing him from acting in any manner prejudicial to the security of Malaysia or any part thereof or to the maintenance of essential services therein or the economic life thereof, he may make an order (hereinafter referred to as a detention order) directing that that person be detained for any period not exceeding two years."

Tempat Penahanan

Tahanan ISA lazimnya diletakkan di bawah tahanan di Pusat Tahanan Kemunting, Perak

Penahanan 60 hari pertama

ISA bukanlah undang-undang draconian. Undang-Undang tersebut mengandungi peraturan-peraturan memelihara hak tahanan antaranya:


1) Tahanan ISA bukannya ditahan tanpa sebarang pembelaan. Semasa tempoh tahanan 60 hari, orang tahanan akan dimaklumkan alasan-alasan di sebalik penangkapan dan penahanannya. Pada masa yang sama orang tahanan turut diberi kebenaran berjumpa dengan keluarganya serta peguam yang dipilih sendiri oleh beliau. Dalam tempoh tersebut pihak Polis Diraja Malaysia setelah berpuas hati, Menteri Dalam Negeri boleh sama ada mengeluarkan perintah tahanan atau perintah sekatan terhadap orang itu.


2) Selepas perintah tahanan dikeluarkan dan diserahkan kepada orang tahanan, beliau akan dimaklumkan mengenai haknya untuk membuat representasi kepada Lembaga Penasihat dengan diberi tiga salinan borang (sama ada untuk membuat representasi sendiri atau diwakili peguam) dan turut dibekalkan dengan pengataan fakta serta penahanan. Lembaga Penasihat dikehendaki mendengar representasi orang tahanan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh penerimaan permohonan tersebut.


3) Pengerusi Lembaga Penasihat adalah merupakan seorang individu yang layak untuk menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi. Setelah mempertimbangkan representasi tersebut Lembaga Nasihat akan membuat syor kepada Yang di-Pertuan Agong dan akan memberi arahan sama ada untuk mengekalkan perintah YB Menteri Dalam Negeri atau membebaskan orang tahanan berkenaan.

4) Setiap perintah tahanan dan perintah sekatan akan dibuat ulang kaji oleh Lembaga Penasihat, sekurang-kurangnya sekali dalam setiap 6 bulan.


5) Dalam tempoh tersebut orang tahanan boleh melantik peguam sendiri mewakili dirinya. Laporan ulang kaji serta sebarang syor akan dikemukakan kepada Menteri Dalam negeri sekiranya difikirkan perlu.

Dakwaan Terhadap Penahanan

Penyeksaan dilaporkan menjadi sebahagian daripada kehidupan harian tahanan ISA. Mereka yang pernah ditahan menyatakan bahawa mereka telah didera secara fizikal dan mental yang termasuk salah satu daripada senarai ini: pukulan, penanggalan pakaian, soal siasat 24 jam, ketidakbenaran tidur, ancaman bunuh, ancaman deraan fizikal pada ahli keluarga termasuk ancaman rogol kepada anak mereka. Juga, tahanan diletakkan secara individu dalam sel penjara kecil tanpa cahaya dan udara, dalam yang dipercayai menjadi sel tahanan rahsia. Teknik dan aksi penyeksaan ini direka untuk memalukan dan menakutkan tahanan supaya mendedahkan kekurangan dan memecahkan pertahanan mereka.

Bantahan Dalam Negara

Beberapa parti politik pembangkang termasuk Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menyatakan bantahan mereka terhadap ISA. Ramai di antara pemimpin dan ahli terkenal mereka yang telah ditahan di bawah ISA termasuk Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Lim Guan Eng dari DAP dan Anwar Ibrahim dari PKR.


Bantahan Luar Negara

Kerajaan Amerika Syarikat pernah mengkritik kerajaan Malaysia kerana menggunakan ISA beberapa kali, paling terkini pada tahun 2001 apabila Presiden George W. Bush mengatakan bahawa "Akta Keselamatan Dalam Negeri adalah undang-undang jahat. Tidak wajar ada lagi negara yang punyai undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan. Pada 2004 pula, Bush berpaling dan berkata "Kami tidak seharusnya sewenang-wenangnya mengklasifikasikan Akta Keselamatan Dalam Negeri Malaysia sebagai undang-undang kejam.", dan ini amat mungkin berpunca daripada peristiwa 11 September 2001 dan penggubalan Akta Patriot USA ( USA Patriot Act) selepasnya untuk disesuaikan dengan keadaan semasa.

PEMBEBASAN TAHANAN ISA

Pembebasan tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah kali kedua di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sejak 4 April lalu. Pembebasan terbaru membabitkan 13 individu yang dilihat oleh Kementerian Dalam Negeri sebagai tidak lagi memberikan ancaman kepada negara. Ia juga menunjukkan sifat prihatin kerajaan terhadap perspektif keperluan dan mengimbanginya dengan kesan penahanan ke atas negara.


CADANGAN KAJIAN TERHADAP ISA

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah wujud hampir separuh abad lamanya, memerlukan kajian semula supaya sesuai dengan tuntutan dan kehendak semasa.


YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak dan YB Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein telah membuat kenyataan bahawa kerajaan sedang dalam proses mengkaji semula ISA. Pada 4 Ogos 2009 Perdana Menteri juga telah memaklumkan bahawa dalam melaksanakan kajian semula ke atas ISA semua pihak termasuk pembangkang dan pelbagai pertubuhan sivil akan diberi peluang untuk mengemukakan pandangan, cadangan dan idea bagaimana untuk memperbaiki undang-undang dan bukan mempolitikkannya.


Dasar dan pendirian Kerajaan adalah untuk mengkaji dan bukannya memansuhkan ISA. Ini bertujuan untuk mengatasi kelemahan-kelemahan yang ada dan menutup ruang penyalahgunaan kuasa dan lain-lain perkara yang menimbulkan pertikaian

TUJUAN ISA DIKEKALKAN

Kerajaan telah mengumumkan bahawa adalah mustahil untuk Akta keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan, tetapi ia boleh dipinda supaya lebih bersesuaian dengan keadaan semasa. Antaranya tujuan ia dikekalkan adalah seperti berikut:


1. Akta tersebut masih relevan bagi memelihara keharmonian dan ketenteraman awam di negara ini. Sekiranya dimansuhkan golongan yang mempolitikkan ISA akan lebih berani mendesak supaya dihapuskan perkara-perkara lain yang termaktub dalam Perlembagaan negara.


2. Dapat mempertahankan sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Undang-undang ini mencegah tindakan menukar sistem pemerintahan negara secara tidak demokratik


3. Bersifat preventif atau pencegahan dan bukannya kuku besi.


4. Hanya dikenakan ke atas individu untuk mencegah mereka daripada bertindak menjejaskan ketenteraman awam, kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara.


5. ISA adalah undang-undang yang bersumberkan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan itu sangat penting untuk mencegah kegiatan subversif dan terorisme.


6. Akta ini penting untuk keselamatan pribumi, keselamatan etnik, keselamatan masyarakat dan keselamatan ekonomi.


7. Ia adalah undang-undang yang diperlukan oleh sesiapa sahaja yang memerintah Malaysia kerana negara ini adalah majmuk dan sentiasa berdepan dengan masalah etnik dan agama.


8. ISA juga berjaya memberikan keinsafan kepada beberapa tahanan agar terus mencintai negara. Akta ini juga menyelamatkan bukan sahaja bakal mangsa, malah individu berpotensi ganas daripada terjebak dalam kancah keganasan.


9. Bukan satu undang-undang draconian tetapi mengandungi peraturan-peraturan yang memelihara hak tahanan.


10. Sebagai sebuah negara majmuk ISA diperlukan sebagai undang-undang pencegahan untuk melindungi negara daripada insiden buruk yang mudah memusnahkan kaum dan negara.


11. Ia juga untuk menjaga keselamatan diri individu yang terlibat kerana jika dibiarkan bebas nyawanya akan terancam.

TENTANGAN TERHADAP ISA

1. AKTA Keselamatan Dalam Negeri atau ISA adalah undang-undang yang sering dijadikan polemik, dipertikai dan dipolitikkan oleh sesetengah pihak yang mencari sokongan secara murahan


2. Mereka mengeksploitasikan ISA untuk menyerang kredibiliti pemerintah kerana undang-undang ini mudah untuk membakar emosi rakyat jika disorot secara cetek dan hanya sepintas lalu.


3. Kritikan dan kecaman terhadap ISA selalunya diperkukuhkan dengan penggunaan konsep-konsep asing seperti hak-hak asasi manusia sejagat dan demokrasi liberal.


4. Penahanan tanpa bicara selama dua tahun.


5. Isu utama bukan soal hak asasi. Jika hak asasi, adakah mereka yang ditahan terbabit tidak diberikan makanan, tempat berteduh atau didera? Tetapi yang menjadi keutamaan pihak yang menentang ISA termasuk beberapa individu dalam pembangkang dan juga majlis guaman ialah mengenai hak politik.


6. Bagi ahli politik, ISA dilihat sebagai "ancaman" kepada gerakan dan aktiviti berpolitik. Mereka melihat ISA dalam perspektif bahawa kerajaan mampu menyalahgunakan kedudukan atas kuasa eksekutif untuk menahan mereka.


CADANGAN PINDAAN ISA

1. Memandangkan ISA telah digubal semasa mengalami darurat dan ia merupakan warisan penjajah, adalah baik ISA dikaji semula untuk disesuaikan dengan keadaan semasa.


2. Mewujudkan Suruhanjaya Diraja yang terdiri dari pakar undang-undang dan wakil-wakil tertentu bagi mencari kecacatan ISA.


3. Cadangan mengeluarkan Kertas Puteh ISA untuk dibincangkan di Parlimen dan ia nya lebih berkesan.

4. Menubuhkan Suruhanjaya Bebas utnuk mengkaji adakah bebar penganiayaan di bawah ISA berlaku?


5. Melaksanakan kajian dari perspektif Islam oleh pakar Islam dan Mufti sama ada ISA ini bercanggah atau tidak dengan justifikasi di sisi Islam sebagai agama rasmi Negara. Adakah Islam membenarkan seseorang orang ditahan sedemikian, jika wujud unsur yagn disyaki membahayakan Islam dn menganutnya.

PERHIMPUNAN MANSUHKAN ISA

Perhimpunan haram anjuran Gabungan Mansuhkan ISA (GMI) telah diadakan di sekitar ibu kota pada 1 Ogos 2009. Pihak polis telah menahan seramai 589 individu yang menyertai perhimpunan haram membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Seramai 549 lelaki dan 40 perempuan ditahan mengikut Seksyen 105 Kanun Tatacara Jenayah. Ianya melibatkan seramai 545 orang dewasa dan 44 remaja berusia bawah 18 tahun.


Sebanyak 26 organisasi Mahasiswa telah menyokong dan menegaskan pendirian menyokong perhimpunan Mansuhkan ISA tersebut.


Penglibatan beberapa pemimpin parti pembangkang dalam perhimpunan ini telah mendapat perhatian antaranya ialah Ketua Pakatan Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pesuruhjaya Pas, Datuk Mustafa Ali, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamad Sabu dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Selain itu, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang; Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat, Shamsul Iskandar Mat Ikin; Ahli Parlimen Machang, Saifudin Nasution; Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar; Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh dan Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad.

Kira-kira 10,000 penyokong sebuah badan bukan kerajaan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terlibat dalam demontrasi ini dan menjadi punca banyak premis perniagaan ditutup selain kesesakan trafik yang teruk.
Antara kawasan yang terjejas ialah Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India yang sepatutnya menjadi kawasan orang ramai membeli-belah pada hujung minggu.


Bagi mengelak keadaan tidak terkawal, polis bertindak menyuraikan perhimpunan haram itu dengan gas pemedih mata selain pancutan air.


Akibatnya, hampir 600 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan dalam perhimpunan anjuran Gabungan Memansuhkan ISA (GMI) itu yang didalangi parti pembangkang.


Dalam perhimpunan tersebut dapat dilihat melalui laungan yang dibuat ketika demonstrasi di ibu negara berlangsung tidak ada kaitan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).


Walau bagaimana pun Kerajaan tidak akan tunduk dengan desakan melalui demonstrasi jalanan kerana ia dilakukan hanya untuk tujuan politik dan kepentingan peribadi.


Kesan Dari Perhimpunan Mansuhkan ISA

1. Para peniaga di sekitar Jalan Masjid India marah dengan tindakan pihak yang menganjur perhimpunan haram di sekitar ibu negara pada 1 Ogos baru-baru ini kerana tindakan itu menjejaskan perniagaan mereka.


2. Perhimpunan itu menimbulkan kemarahan peniaga di situ, kebanyakan pelanggan tidak berani datang kerana takut terperangkap dalam perhimpunan haram.


3. Peniaga telah mengalami kerugian yang besar dengan penutupan premis peniagaan mereka semasa perhimpunan diadakan dan menjejaskan sumber pendapatan mereka.


4. Demonstrasi di tempat-tempat terbuka akan mengundang media antarabangsa membuat liputan negatif dan menyiarkan berita tersebut berulang kali.


5. Masyarakat antarabangsa akan menganggap bahawa negara ini berada dalam keadaan kucar kacir. Pelancong luar negara akan membuat keputusan tidak ke negara ini kerana berada dalam keadaan tidak aman. Ini menjejaskan industri pelancongan negara.


6. Para pelabur asing akan mengalihkan pelaburan mereka ke negara yang lebih aman dan mempunyai kestabilan politik. Ini mereka mungkin menganggap Malaysia sebagai sebuah negara yang berada dalam keadaan yang tidak stabil.

KESIMPULAN
• Kerajaan tidak menggunakan ISA dengan sewenang-wenangnya. ISA perlu dilihat dari perspektif yang lebih besar daripada hak asasi Individu.

• Dasar dan pendirian kerajaan adalah untuk mengkaji dan bukan untuk memansuhkan terus ISA. Perkara ini perlu diberi fahaman kepada rakyat supaya tidak dikelirukan.


• Tidak menggunakan alasan hak asasi untuk berselindung di sebalik kegiatan dan hak politik bangkangan yang mereka perjuangkan. Jika mahu memperjuangkan hak politik, maka nyatakan dengan jelas dan nyata.


• Kerajaan dan pasukan keselamatan perlu memperbetulkan persepsi tentang ISA. Jika kerajaan hendak meliberalisasikan ISA, wajarlah dilaksanakan dahulu penerangan bersepadu kepada rakyat tentang ISA dan potensi ancaman kepada negara jika ISA tidak dilaksanakan sejak dari dahulu lagi.


• Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia ISA diperlukan sebagai undang-undang pencegahan untuk melindungi negara daripada insiden buruk yang dengan mudah boleh menjejaskan pembangunan dan kestabilan negara.


• Pihak yang menganjurkan perhimpunan haram itu sepatutnya menggunakan saluran yang betul untuk menyampaikan memorandum kepada kerajaan bagi menyuarakan pandangan mereka berhubung Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).


• Sekiranya didapati pemimpin pembangkang menjadi tulang belakang kekecohan dalam perhimpunan haram baru-baru ini, tindakan yang tegas perlu diambil mengikut saluran undang-undang yang ada.


• Adalah sukar difahami pihak-pihak tertentu di kalangan masyarakat Cina yang menentang ISA, sedangkan majoriti tahanan ISA adalah kaum Melayu yang terlibat dengan kegiatan militan dan ekstremis.

• Dalam demonstrasi menentang ISA pada 1 Ogos 2009 majoritinya adalah kaum Melayu dan amat sedikit penyertaan kaum Cina. Ini menunjukkan masyarakat kaum Cina tidak mempunyai sentimen anti ISA yang kuat melainkan segelintir yang mempunyai kepentingan dan agenda peribadi atau politik.


• Semua negara mengamalkan penahanan tanpa bicara tetapi yang berbeza adalah tempoh tahanan, jadi tempoh tahanan adalah satu aspek yang akan diteliti dalam kajian semua ISA.


• Kebanyakan suara yang menggesa supaya akta ini dihapuskan lahir daripada gerakan pembangkang dan juga badan bukan kerajaan seperti SUARAM (Suara Rakyat Malaysia) yang keahliannya tidak seramai mana tetapi mencanangkan seolah-olah mereka mewakili suara seluruh rakyat Malaysia

0 comments:

Post a Comment