Subscribe to RSS feed

Saturday, June 11, 2011

Pengenalan Mengenai PBB

Mari kita selidik apa itu PBB?

Pengenalan

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau PBB ialah sebuah pertubuhan antarabangsa yang dibentukkan di San Francisco, California pada 24 Oktober 1945 selepas Perang Dunia II. Keahliannya terbuka kepada semua negara di seluruh dunia. Matlamat-matlamat utamanya, sebagaimana yang ditetapkan dalam piagam PBB, adalah untuk mengelakkan perulangan pertikaian yang hebat, menegaskan hak asasi manusia yang utama, menjamin rasa hormat akan undang-undang antarabangsa, serta memperbaiki taraf hidup penduduk di seluruh dunia.

PBB telah ditubuhkan semata-mata untuk menggantikan Liga Bangsa-bangsa yang telah dibubarkan setelah gagal menghalang Perang Dunia II. Ibu pejabat asal PBB terletak di San Francisco, akan tetapi PBB kini beroperasi di New York yang merupakan ibu pejabat sejak 1946.

PBB mempunya keanggotaan seramai 192 buah negara.

Piagam PBB

Berikut ialah mukadimah bagi Piagam PBB:

KAMI RAKYAT PERTUBUHAN BANGSA BERSATU BERAZAM

  • untuk menyelamatkan generasi-generasi yang berikut daripada kesengsaraan peperangan, yang dua kali dalam penghidupan kami, telah membawa kesedihan yang tidak terkatakan kepada manusia, dan
  • untuk menegaskan semula keyakinan kepada hak-hak asasi manusia, kepada maruah dan nilai manusia, kepada hak-hak kesamarataan lelaki dan perempuan serta negara-negara besar dan kecil, dan
  • untuk mewujudkan keadaan yang mana keadilan dan rasa hormat kepada kewajipan yang tertimbul daripada persetiaan-persetiaan dan sumber undang-undang yang lain dapat dipeliharakan, dan
  • untuk mempromosikan kemajuan sosial dan taraf hidup yang lebih baik dalam kebebasan yang lebih luas, dan untuk tujuan ini
  • akan mengamalkan toleransi dan hidup bersama-sama dalam keamanan dengan satu sama lain sebagai jiran-jiran yang baik, dan
  • akan menyatukan kekukuhan kami untuk memeliharakan keamanan dan keselamatan antarabangsa, dan
  • akan memastikan, melalui penerimaan prinsip-prinsip dan institusi kaedah-kaedah, bahawa kuasa bersenjata tidak
  • akan digunakan, kecuali untuk kepentingan umum, dan
  • akan menggunakan jentera antarabangsa bagi mempromosikan kemajuan ekonomi dan sosial untuk semua manusia,

Antara aktiviti-aktiviti PBB :

Kawalan senjata dan pelucutan senjata


PBB telah menubuhkan berbagai-bagai forum untuk menujukan persoalan-persoalan pelucutan senjata berbilang hala. Forum-forum yang utama termasuk "Jawatankuasa Pertama Perhimpunan Agung" dan "Suruhanjaya Pelucutan Senjata PBB". Perkara-perkara dalam agendanya merangkumi pertimbangan kebaikan dan keburukannya terhadap pengharaman ujian nuklear, kawalan senjata angkasa lepas, usaha untuk mengharamkan senjata kimia, pelucutan senjata nuklear dan senjata biasa, pengurangan peruntukan tentera, serta langkah-langkah untuk mengukuhkan keselamatan antarabangsa.

Penjagaan keamanan


Pengaman-pengaman PBB dihantar ke kawasan-kawasan di mana pertikaian bersenjata baru-baru sahaja tamat, supaya dapat menguatkuasakan syarat-syarat persetujuan keamanan serta untuk tidak menggalakkan askar-askar daripada memulakan pertempuran, umpamanya di Timor Timur sehingga kemerdekaannya pada tahun 2001. Pasukan-pasukan ini dibekalkan oleh ahli-ahli negara PBB. PBB tidak mempunyai sebarang tentera sendiri. Kesemua operasi penjagaan keamanan harus diluluskan oleh Majlis Keselamatan.

Pasukan pengaman PBB menerima "Hadiah Keamanan Nobel" pada tahun 1988. Pada tahun 2001, PBB dan Setiausaha Agung Kofi Annan memenangi Hadiah Keamanan Nobel "kerana usaha-usaha mereka untuk mencapai dunia yang lebih teratur dan lebih aman."

PBB mengekalkan siri Pingat PBB yang dianugerahkan kepada ahli-ahli perkhidmatan tentera yang menguatkuasakan persetujuan PBB. Pingatnya yang sulung ialah Pingat Perkhidmatan PBB yang dianugerahkan kepada angkatan PBB yang menyertai Perang Korea. Pingat NATO direka bentuk melalui konsep yang serupa dan kedua-duanya dianggap sebagai pingat antarabangsa dan bukannya pingat tentera.

Hak asasi manusia


Perjuangan untuk hak-hak asasi manusia merupakan alasan yang utama untuk mencipta PBB. Kekejaman Perang Dunia II dan pembunuhan kaum telah menyebabkan sepersetujuan serta-merta bahawa pertubuhan baru harus berusaha untuk mencegah nahas yang serupa pada masa akan datang.

Piagam PBB memerlukan kesemua ahli-ahli negaranya mempromosikan "rasa hormat sejagat ke atas dan pematuhan kepada hak asasi manusia" serta mengambil "tindakan bersama dan berasingan" untuk mencapainya. Suruhanjaya mengenai Hak Asasi Manusia PBB, di bawah ECOSOC, merupakan badan PBB yang utama untuk mempromosikan hak asasi manusia, khususnya melalui penyiasatan dan pemberian bantuan teknikal. Contoh yang baik ialah sokongan PBB kepada negara-negara yang hendak berubah kepada sistem demokrasi. Bantuan teknikal untuk menyediakan pilihan raya yang bebas dan adil, perbaikan struktur kehakiman, bantuan mendraf perlembagaan, latihan untuk pegawai-pegawai hak asasi manusia, serta pengubahan gerakan-gerakan bersenjata menjadi parti-parti politik nyata sekali amat menyumbang kepada proses pendemokrasian di seluruh dunia.

PBB juga merupakan forum yang menyokong hak-hak wanita untuk penyertaan sepenuhnya dalam bidang politik, ekonomi dan sosial di negara mereka.


Bantuan kemanusian dan pembangunan antarabangsa


Bersama-sama dengan pertubuhan yang lain, seperti Persatuan Palang Merah, PBB membekalkan makanan, air minuman, tempat perlindungan dan perkhidmatan kemanusian yang lain kepada penduduk-penduduk yang mengalami kebuluran, terpaksa berpindah akibat perang, atau menderita disebabkan bencana yang lain.

Cabang kemanusiaan PBB yang utama termasuk Program Makanan Dunia (yang membantu memberi makanan kepada lebih daripada 100 juta orang setiap tahun di 80 negara), Pesuruhjaya Tinggi bagi Pelarian dengan projeknya di 116 buah negara, serta projek penjagaan keamanan di 24 buah negara. PBB juga terlibat dalam penyokongan perkembangan ekonomi, umpamanya perumusan Matlamat Pembangunan Milenium. Program Pembangunan PBB (UNDP) merupakan sumber berbilang hala untuk tabung bantuan teknikal di dalam dunia. Pertubuhan seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia, UNAIDS dan Tabung Dunia untuk Membasmi AIDS, Tuberkulosis dan Malaria ialah institusi-institusi yang utama dalam pembasmian penyakit AIDS di seluruh dunia, khususnya di negara-negara yang miskin. Tabung Kependudukan PBB yang merupakan pembekal utama untuk perkhidmatan pembiakan telah membantu mengurangkan kematian bayi dan maternal di 100 negara.

PBB telah membantu menjalankan pilihan raya di negara-negara yang tidak mempunyai banyak sejarah demokrasi, termasuknya pada masa kebelakangan ini, Afghanistan dan Timor Timur. Ia juga menjalankan tribunal jenayah antarabangsa, termasuknya Tribunal Jenayah Antarabangsa untuk Rwanda (ICTR) dan bekas Yugoslavia (ICTY), serta Mahkamah Khas untuk Sierra Leone, dan Mahkamah Ad Hoc untuk Timor Timur.

Pada 9 Mac 2006 Setiausaha Agung PBB Kofi Annan melancarkan Tabung Pusat Gerak Balas Kecemasan (CERF) untuk mereka di Tanduk Afrika yang diancam oleh kebuluran.[1]


Kegagalan dan Kejayaan PBB


Kejayaan dan kegagalan dalam isu-isu keselamatan

Sebahagian besar daripada perbelanjaan PBB ditujukan kepada misi teras PBB terhadap keamanan dan keselamatan. Peruntukan untuk menjaga keamanan pada tahun fiskal 2005-2006 adalah lebih kurang AS$5 bilion (berbanding peruntukan teras PBB sebanyak kira-kira $1.5 bilion untuk tempoh yang sama), dengan 70,000 askar diatur kedudukan di sekeliling dunia.

Laporan Keselamatan Manusia 2005, yang dikeluarkan oleh Pusat Keselamatan Manusia di Universiti British Columbia dengan sokongan daripada pelbagai kerajaan dan yayasan, mendocumenkan penurunan yang dramatik tentang bilangan peperangan, pembunuhan kaum, dan amalan hak asasi manusia yang salah pada dekad yang lepas. Laporan itu yang diterbit oleh Percetakan Universiti Oxford mendebatkan bahawa alasan tunggal yang paling mendorong untuk perubahan-perubahan ini yang tidak pernah berlaku dahulu ialah kenaikan mendadak aktivisme antarabangsa yang telah dianjurkan oleh PBB selepas Perang Sejuk.

Laporan itu mengenal pasti beberapa pelabuhan yang berjaya :

  • Pertambahan enam kali ganda dari segi bilangan misi PBB untuk mencegahkan peperangan dari 1990 hingga 2002
  • Pertambahan empat kali ganda dari segi usaha-usaha untuk menghentikan pertempuran yang telah wujud, dari 1990 hingga 2002
  • Pertambahan tujuh kali ganda dari segi bilangan 'Sahabat Setiausaha Jeneral' ( 'Friends of the Secretary-General' ), 'Kumpulan-kumpulan Hubungan' ( 'Contact Groups' ) serta mekanisme-mekanisme lain yang dimulakan oleh kerajaan-kerajaan untuk menyokong misi penjagaan keamanan dan pembinaan keamanan dari 1990 hingga 2003
  • Pertambahan sebelas kali ganda dari segi bilangan sekatan ekonomi terhadap rejim-rejim di sekeliling dunia dari 1989 hingga 2001
  • Pertambahan empat kali ganda dari segi bilangan operasi penjagaan keamanan dari 1987 hingga 1999.

Usaha-usaha ini lebih banyak dan, pada puratanya, jauh lebih besar dan rumit berbanding usaha-usaha yang dilaksanakan sewaktu Perang Sejuk. Bagaimanapun, dalam banyak kes, ahli-ahli PBB telah menunjukkan keberatan untuk mencapai ataupun menguatkuasakan ketetapan-ketetapan Majlis Keselamatan. Pada 2003, Amerika Syarikat megetuai serangan terhadap Iraq di tengah-tengah rasa tidak setuju yang kuat antara kebanyakan ahli-ahli PBB. Untuk hampir sedekad, Israel menentang ketetapan yang memerlukannya menghapuskan petempatan-petempatan di Tebing Barat dan Gaza. Kegagalan-kegagalan ini berpunca daripada sifat antara kerajaan PBB — dalam banyak hal, ia merupakan persatuan yang terdiri daripada 191 ahli negara yang harus mencapai sepersetujuan, dan bukannya sebuah pertubuhan yang bebas. Walaupun tindakan-tindakan telah diberikan mandat oleh Majlis Keselamatan, Sekretariat jarang diberikan sumber-sumber yang mencukupi untuk melaksanakannya.

Kegagalan-kegagalan keselamatan teruk yang lain termasuk:

  • Kegagalan mencegah pembunuhan kaum Rwanda pada 1994 yang telah mengakibatkan kematian hampir sejuta orang; kegagalan ini disebabkan keengganan ahli-ahli Majlis Keselamatan, khususnya kerajaan Amerika Syarikat, British dan Perancis, untuk meluluskan sebarang tindakan tentera.
  • Kegagalan MONUC (Ketetapan UNSC 1291) untuk campur tangan yang berkesan dalam Perang Congo Kedua yang menuntut nyawa hampir lima juta orang di dalam Republik Demokratik Congo (DRC) antara tahun 1998-2002 (dengan pertempuran dilaporkan masih berlangsung), dan untuk pelaksanaan dan penyebaran bantuan kemanusiaan.
  • kegagalan untuk campur tangan dalam pembunuh beramai-ramai Srebrenica pada 1995, walaupun PBB telah menamakan Srebrenica sebagai "tempat perlindungan yang selamat" untuk orang-orang pelarian dan menugaskan 600 orang pengaman Belanda untuk melindunginya.
  • Kegagalan untuk menghantarkan makanan kepada orang yang mengalami kebuluran di Somalia; makanan itu biasanya dirampas oleh hulubalang-hulubalang tempatan. Percubaan Amerika Syarikat/PBB untuk menangkap hulubalang-hulubalang itu telah mengakibatkan Pertempuran Mogadishu pada tahun 1993.
  • Penganiayaan seks oleh pengaman-pengaman PBB: Telah dilaporkan bahawa pengaman-pengaman daripada beberapa negara telah menganiayai dan merogol bergilir-giliran kanak-kanak perempuan semuda umur 12 di Republik Demokratik Congo. Penganiayaan ini dilaporkan telah berlaku secara meluas dan masih berlaku walaupun terdapatnya banyak pendedahan dan penyiasatan oleh "Pejabat Perkhidmatan Kealpaan Dalaman PBB".

Penyiasatan dalaman PBB pada tahun 2005 mendapati bahawa penganiayaan seks yang serupa telah dilaporkan di lima negara yang lain di mana pengaman-pengaman PBB telah diatur kedudukan, termasuknya Burundi, Côte d' Ivoire, dan Liberia; sewaktu itu, pengaman-pengaman PBB telah diatur kedudukan di 16 negara.

0 comments:

Post a Comment