Subscribe to RSS feed

Saturday, June 11, 2011

GURU BERPOLITIK??

Reaksi positif dan negatif tntg isu ini:

31 Mac - Guru Tidak Sesuai Berpolitik

KUALA LUMPUR: Cadangan untuk membenarkan guru Kumpulan A bergiat aktif dalam politik tidak sesuai dilaksanakan kerana

ia dikhuatiri boleh memecahbelahkan warga pendidik di sekolah, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.

Beliau menegaskan, sesetengah guru mungkin taksub dengan parti yang disokong sehingga wujud sikap berpuak, sekali gus menjejaskan pelajar.

"Pada asasnya, guru dan pegawai tinggi kerajaan tidak dibenarkan menyertai politik dan mereka perlu bersikap neutral.

"Jika guru dibenarkan berpolitik, pegawai kerajaan dari kumpulan lain juga pasti akan menuntut hak yang sama," katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Ismail mengulas cadangan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, supaya golongan pendidik, terutama guru Kumpulan A diberi kelonggaran dan kebenaran untuk terbabit dalam aktiviti politik serta memegang jawatan dalam parti.
Dalam ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno Sabtu lalu, Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kepakaran golongan itu dapat digembleng dan dimanfaatkan bagi memantapkan lagi Umno.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002 P U (A) 246, pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional dilarang mengambil bahagian dalam aktiviti politik atau memakai mana-mana lambang sesuatu parti politik.

Pegawai kerajaan dari Kumpulan A atau Pengurusan juga tidak boleh mengambil bahagian secara aktif dalam politik seperti berkempen, sama ada pada waktu pejabat mahupun di luar waktu pejabat kerana dikhuatiri boleh menyeleweng daripada tugasnya.

Bagaimanapun, kakitangan Kumpulan Sokongan dibenarkan bergerak aktif dalam politik dengan syarat mendapat kelulusan ketua jabatan yang harus menilai semua faktor sebelum memberi kelulusan.


Ismail berkata, cadangan itu jika masih hendak dilaksanakan mesti diperhalusi secara mendalam.

"Kita mungkin perlu ada kaedah atau syarat tertentu yang difikirkan sesuai jika cadangan ini mahu dilaksanakan," katanya.

Ismail berkata, buat masa ini larangan itu masih kekal dan wajib dipatuhi pegawai kerajaan termasuk guru.

Sumber: Berita Harian


Reaksi Terhadap Cadangan Guru Dibenar Bergiat Aktif Dalam Politik

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyarankan agar golongan pendidik terutama guru dalam kumpulan A diberi kelonggaran dan dibenarkan terlibat dalam kegiatan politik. Isu ini mendapat pelbagai reaksi daripada akhbar-akhbar tempatan. Bagi pihak yang bersetuju agar dibenarkan aktif berpolitik berpendapat ia sangat baik untuk perkembangan politik, manakala yang membantah bimbang jika guru dibenarkan berpolitik, maka tumpuan pengajaran akan terjejas.

Sumber Maklumat:
April 2009
Jabatan Penerangan Malaysia


28 Jul - Guru Aktif Politik Perlu Profesional

sektor-awam.d

PUTRAJAYA: Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 yang ingin bergiat aktif dalam parti politik diminta bersikap profesional dengan menumpukan kepada tugas hakiki iaitu mendidik dan menjadikan politik sebagai tugas sampingan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata pihaknya menerima keputusan
kerajaan membenarkan pegawai pendidikan gred berkenaan terbabit dalam politik dengan perasaan berbelah-bahagi. Sebelum ini, walaupun kerajaan menghalang guru daripada terbabit dalam politik sudah berlaku pelbagai masalah di sekolah akibat perbezaan pandangan guru dalam politik. Jadi kita khuatir kebenaran untuk guru berpolitik ini akan memburukkan keadaan kecuali guru terbabit mampu bersikap profesional dan meninggalkan parti politik yang dianggotai di pintu pagar sekolah, katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan kerajaan meminda Peraturan 21(2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi membolehkan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 untuk bertanding, dilantik atau memegang jawatan dalam mana-mana parti politik berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dalam kenyataannya bagaimanapun, berkata kebenaran itu juga tidak membabitkan Pengetua dan Guru Besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan.

Hashim turut menyatakan kebimbangannya mengenai kuasa mutlak yang diberikan kepada Ketua Setiausaha (KSU) kementerian untuk mengeluarkan kelulusan bertulis kepada pegawai perkhidmatan pendidikan terbabit kerana ia boleh menimbulkan rasa tidak puas hati individu yang gagal memperoleh kebenaran terbabit. Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang gagal mendapat kebenaran bertulis mungkin menggunakan saluran politik untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka dan ini boleh menjejaskan kewibawaan KSU kementerian yang boleh dianggap bersikap pilih kasih atau diskriminasi terhadap mana-mana parti politik.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Bersama Kebangsaan untuk Kumpulan Pengurusan dan Profesional, Anuar Ibrahim, berkata keputusan itu amat tepat pada masanya kerana ia memberi peluang kepada guru untuk berkongsi pandangan mereka dalam bidang politik.

Beliau yang juga bekas Presiden NUTP berkata, keputusan menyekat pegawai terbabit menyebabkan banyak maklumat
pada peringkat akar umbi gagal disalurkan ke peringkat tertinggi kerana ketiadaan saluran.

Tokoh akademik dan bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, berkata guru yang ingin berpolitik perlu bijak membahagikan masa antara tugas sebagai pendidik dan politik.

Beliau berkata, berdasarkan sejarah negara, politik digerakkan oleh guru kerana golongan ini mengutamakan bakti kepada negara serta perkhidmatan mereka sebagai pendidik.

Justeru, langkah ini boleh digalakkan tetapi pada masa sekarang yang mana politik dicemarkan dengan wang, mesti ada suatu penilaian kepada mereka ini untuk berpolitik. Kita takut nanti dia ada mahu berjaya dalam politik sehingga mengabaikan tugas sebagai pendidik.

Berita Disunting Daripada Sumber : Berita Harian


03 Ogos - Guru Berpolitik Bakal Lahir Pemimpin Berkaliber - Mustapa

yb-dato-mustapa-mohamed.d

KOTA BAHARU, 1 Ogos (Bernama) -- Keputusan kerajaan membenarkan Pegawai Pendidikan Perkhidmatan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik bakal melahirkan pemimpin berkaliber untuk negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata "suara guru" dalam iklim politik negara sangat diperlukan kerana mereka sangat diterima masyarakat dan langkah itu sebenarnya memberikan kesan positif kepada negara.

Beliau berkata, ia bakal melahirkan politik kepimpinan dan keputusan kerajaan ini telah memberikan kesan yang sangat positif ketika ketandusan pemimpin berkaliber, berintegriti, dihormati dan disegani, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pameran Karya Seni Visual STPM dan Program Usahawan Sosial untuk Pembangunan Ekonomi (SEED) di Universiti Malaysia Kelantan pada hari Ahad.

Mustapa yang juga pengerusi perhubungan Umno negeri berkata demikian ketika mengulas pengumuman kerajaan baru-baru ini mengenai pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang membenarkan Pegawai Pendidikan Perkhidmatan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik mulai hari ini.

Beliau bagaimanapun menasihati guru terbabit agar mementingkan kerjaya dan tidak menjejaskan prestasi di sekolah kerana jika itu berlaku ia boleh menjejaskan pelajar. Mustapa juga mengingatkan pembangkang yang mendakwa kononnya keputusan kerajaan itu bagi membolehkan guru berpolitik untuk menyokong kerajaan semata-mata dan bukannya untuk pembangkang.

Katanya, kerajaan putuskan guru boleh berpolitik dan dakwaan pembangkang yang karut marut ini tidak harus berbangkit. Ini tidak berasas dan pembangkang tidak patut buat begini.Sementara itu Mustapa berkata mana-mana pelajar miskin yang tidak tersenarai sebagai penerima wang ihsan boleh membuat rayuan kepada Jawatankuasa Tabung Wang Ihsan Kelantan.

Katanya dakwaan nama pelajar itu sengaja tidak disenaraikan di peringkat kampung lagi mungkin ada kebenaran tetapi keluarga pelajar itu dinasihat supaya membuat rayuan kepada jawatankuasa terbabit. Tidak dinafi ada berlaku mungkin sebab peribadi tetapi tidak mahu perkara kecil ini jadi masalah yang diperbesar dan diminta membuat rayuan. Beliau berkata setakat ini pengagihan wang ihsan itu berjalan dengan lancar dan program pemberiannya akan tetap berjalan semasa Ramadan nanti.

Mengenai program SEED oleh UMK itu, Mustapa berkata ia bakal memberikan manfaat kepada kampung terpilih untuk meningkatkan pendapatan penduduk apabila UMK bersama universiti luar negara akan mencari kaedah penambahbaikan kepada hasil penduduk kampung.

Katanya, mereka akan ke kampung dan membuat kajian bagaimana hasil pendapatan penduduk boleh ditambahbaik lagi dan ini merupakan satu manfaat besar kepada penduduk kampung. Program SEED itu adalah kerjasama Pusat Penyelidikan Asia, Universiti Of St Gallen, Switzerland telah memilih beberapa perkampungan di sekitar Pantai Sri Tujuh, Tumpat bagi kajian mereka.

Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, Naib Canselor UMK Datuk Dr Zainai Mohamad dan Pengerusi Bengkel SEED dari Institut Teknologi Bandung, Indonesia Prof Surna Tjahja Djajadiningrat.

Berita disunting daripada sumber BERNAMA

06 Ogos - Keputusan Benar Guru Aktif Politik Diperinci

muhyidin

SUNGAI SIPUT: Kerajaan akan mengeluarkan pekeliling dalam tempoh terdekat bagi memperincikan lagi keputusan membenarkan guru siswazah terbabit aktif dalam politik, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri, berkata pekeliling itu bagi memberi garis panduan, khususnya kepada pengetua dan guru besar untuk menguruskan guru siswazah yang berpolitik seperti meluluskan permohonan cuti bagi urusan politik. Kita akan memperjelaskan lagi perkara ini supaya pengetua dan guru besar lebih memahami bentuk kebenaran yang diberikan dan bagaimana mahu mengendalikan guru yang mahu aktif berpolitik. Begitupun, ia akan dipastikan tidak menjejaskan Peraturan-Peraturan Am Perkhidmatan Guru (PAPG) sedia ada. Beliau berkata pada sesi soal jawab sempena Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran Bersama Warga Pendidik Daerah Kuala Kangsar di Pusat Konvesyen Sungai Siput.

Pada 27 Julai lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan menyatakan berkuat kuasa 1 Ogos lalu, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan membabitkan diri dalam politik.

Muhyiddin berkata, kerajaan hanya memberi kebenaran kepada guru siswazah dan tidak penjawat awam lain untuk bergiat aktif dalam politik.

Ini disebabkan kerjaya perguruan dianggap istimewa, selain mempunyai tempoh bekerja fleksibel serta lebih memahami masalah rakyat peringkat akar umbi. Dari segi sejarah, guru sudah membuktikan daya kepemimpinan mereka dalam hiraki politik serta berperanan penting menggerakkan nasionalisme yang kini dirasakan kehilangannya selepas mereka dilarang aktif berpolitik.

Muhyiddin bagaimanapun mengingatkan guru yang mahu aktif berpolitik supaya perlu memiliki kebijaksanaan, khususnya dalam pembahagian waktu kerana tanggungjawab utama mereka adalah untuk mendidik pelajar menjadi warga berguna kepada negara.

Berita Disunting Daripada Sumber : Berita Harian




0 comments:

Post a Comment